Pelajaran 2

Pelajaran 2

لَامُؤَاخْذَةْ يَارَيْسْ

Maaf

Aktiviti 1: Video Pelajaran

Sila dengar video ini dengan baik dan cuba faham setiap perkataan yang dituturkan. Setelah meneliti transkripsi dan huraian, kembali semula ke halaman ini untuk hafalan. Ulang ayat ini sebanyak 50 kali.

0

Aktiviti 2: Transkripsi dan Terjemahan

Sila teliti teks Arab (transkripsi) untuk semua ucapan dalam video dan terjemahannya. 

+ Aa

Transkripsi

1. أَوَامِيرْ مَعَالِيكْ

2. بَطَّلْ سِجَايِرْ عَشَانْ صِحَّتَكْ

3. لَا مُؤَاخْذَةْ يَارَيْسْ

Terjemahan

1. Menurut perintah tuan.

2. (Enggan memberi apa-apa perintah lagi, tapi dia beri nasihat lain dahulu iaitu) Berhenti merokok demi kesihatan kamu.

3. Maafkan saya tuan.

Aktiviti 3: Huraian

Sila teliti huraian untuk bahagian-bahagian penting dan terpilih untuk ucapan-ucapan dalam video pelajaran ini.

 

⚡️ Huraian Kaedah

1. Perkataan أَوَامِيرْ ialah bentuk jama’ al-taksir (plural) untuk perkataan أَمْرْ yang bermaksud ‘perintah’. Ini bererti أَوَامِيرْ bermaksud ‘perintah-petintah’.

2. Perkataan مَعَالِيكْ pula ialah gabungan antara مَعَالِي dan juga dhamir muttasil كَ yang bermaksud ‘kamu’.

Perkataan مَعَالِيكْ sentiasa digunakan sebagai kata-kata hormat kepada orang-orang yang berjawatan tinggi dalam sesuatu institusi seperti ketua polis (dalam cerita ini), menteri, negarawan, raja atau presiden.

Ayat أوامير معاليك pula kita ucapkan apabila ingin meminta pihak terhormat tersebut untuk memberi apa-apa arahan kepada kita.

2. Perkaaan بَطَّلْ ialah fi’il amr (kata kerja untuk suruhan) bagi perkataan بَطَّلَ. Maksudnya ialah, ‘berhentilah’.

Perkataan بَطَّلْ ini merupakan antara perkataan yang amat kerap digunakan dalam kehidupan seharian. Jadi beri perhatian terhadap perkataan ini dan cara untuk menggunakannya.

Kita juga boleh gunakan perkataan ini untuk menyuruh seseorang berhenti melakukan perbuatan-perbuatan lain dengan menggunakan rangkai kata:

بَطَّلْ + الاسم / الفعل المضارع.

Kita sebut perkataan بَطَّلْ kemudian diikuti dengan kata nama atau fi’il mudhari’ bagi sesuatu perbuatan yang ingin dilarang.

Contohnya:

“Berhentilah bercakap!”

بَطَّلْ الكَلَامْ

“Behentilah bising!”

بَطَّلْ الدَّوْشَةْ

“Berhentilah buat bodoh”

بَطَّلْ الهَبَلْ

“Berhentilah menganjing orang.”

بَطَّلْ تِـتَّرْيَقْ عَلَى النَّاسْ

“Berhenti bercakap seperti ini!”

بَطَّلْ تِـتْكَلِّمْ كِدَهْ

(Dua ayat yang terakhir ini ialah contoh untuk بطّل yang diikuti oleh fi’il mudhari’)

 

3. Perkataan سِجَايِرْ (Baca: sigaayir( ialah bentuk jama’ untuk سِجَارَةْ.

Perkataan سِجَارَةْ bermaksud ‘sebatang rokok.’

Perkataan سِجَايِرْ pula bermaksud ‘rokok-rokok.’

4. Perkataan عَشَانْ mempunyai beberapa maksud. Antaranya ialah ‘untuk’, ‘supaya’ dan ‘demi’. Perkataan عَشَانْ dalam ayat ini bermaksud demi.

5. Perkataan صِحَّتَكْ ialah gabungan antara perkataan صِحَّةْ yang bermaksud ‘kesihatan’ dan كْ yang bermaksud kamu (L).

Soalan: Macam mana nak bezakan antara كْ untuk lelaki atau perempuan sebab huruf kaf tu mati?

Jawapan: Tengok huruf sebelum kaaf. Kalau fathah, untuk lelaki. Kalau kasrah, untuk perempuan.

Contoh:

Kesihatan kamu (L) : صِحَّتَكْ (Baca: seh hatAk)

Kesihatan kamu (P):  صِحَّتِكْ (Baca: seh hatIk)

6. Perkataan لَا مُؤَاخْذَةْ  pula ialah salah satu cara untuk meminta maaf dalam dialek Mesir. Tak kira nak minta maaf dari orang lelaki atau perempuan. Seorang atau ramai. Ayat yang digunakan ialah sama.

⚡️ Cara Sebut

1. Huruf ج pada perkataan سِجَايِرْ disebut seperti ‘G’.

2. Sebutan لا مؤاخْذَةْ pula disebut seperti ejaan ini:

“La mu-akh-za.”

Sebutan لا itu pendek sahaja. Perhatikan bagaimanai ianya disebut di dalam video. Ulang dengar, perhati dan tiru cara sebutannya.

 

⚡️ Intonasi

Ketiga-tiga ayat boleh disebut dengan nada yang mendatar atau meninggi. Perhatikan intonasi tinggi rendah suara seperti di dalam video dan tiru.

 

⚡️ Situasi

1. Ayat pertama (1) boleh digunakan dalam apa-apa keadaan rasmi atau tidak rasmi bersama orang-orang kenamaan.

Elakkan untuk guna apabila bercakap dengan orang-orang biasa supaya orang tak salah faham dan anggap kita sedang ‘menganjing’ atau menyindir kedudukannya.

2. Ayat dua (2) dan tiga (3) ini ialah ayat yang sopan dan baik. Kedua-duanya boleh digunakan dalam semua keadaan tanpa pengecualian.

 

⚡️ Pesanan Ringkas

Jangan lupa untuk dengar dengan cermat, teliti dan penuh perhatian.

Dengar betul-betul dan cuba tiru cara sebut dan intonasi dengan baik.

Antara cara yang kita boleh buat ialah rakam percubaan kita untuk meniru cara sebut dan intonasi mereka, kemudian dengar semula dan bandingkan dengan sebutan mereka dalam video asal ini.