Pelajaran 3

Pelajaran 3

إِنْتَ مُشْ مُجَرَّدْ أَخْ

Kamu bukan sekadar seorang abang

Aktiviti 1: Video Pelajaran

Sila dengar video ini dengan baik dan cuba faham setiap perkataan yang dituturkan. Setelah meneliti transkripsi dan huraian, kembali semula ke halaman ini untuk hafalan. Ulang ayat ini sebanyak 50 kali.

0

Aktiviti 2: Transkripsi dan Terjemahan

Sila teliti teks Arab (transkripsi) untuk semua ucapan dalam video dan terjemahannya. 

+ Aa

Transkripsi

1.  بُصّ يَامَأْمُونْ

2.  بِصَرَاحَةْ أَنَا مَابَحِبّشْ أَتْدَخَّل فِي الحَاجَاتْ اللِّي زَيّ دِي.

3.  بَسْ أَنَا بَيْنِي وَبَيْنَكْ عِشْرَةْ.

4.  وِانْتَ عَارِفْ كُوَيِّسْ أَوِي غَلَاوْتَكْ عَنْدِي.

5.  إِنْتَ مُشْ مُجَرَّدْ أَخْ.

6.  إِنْتَ أَكْتَرْ مِنْ أَخ.

Terjemahan

1. Dengar sini, Makmun.

2. Sejujurnya, aku tak suka masuk campur dalam benda-benda seperti ini.

3. Tapi, antara aku dan kamu ada hubungan baik.

4. Dan kamu tahu sangat berharganya kamu disisi aku.

5. Kamu bukan sekadar seorang abang (bagi aku.)

6. Kamu lebih dari seorang abang.

Aktiviti 3: Huraian

Sila teliti huraian untuk bahagian-bahagian penting dan terpilih untuk ucapan-ucapan dalam video pelajaran ini.

 

⚡️ Huraian Kaedah

1. Ayat seperti ayat satu (1) digunakan untuk memulakan perbicaraan serious dengan seseorang. Nama, Makmun boleh diganti dengan sesiapa nama orang lain yang kita bercakap dengan dia.

Perkataan بُصّ merupakan fi’il amar bagi بَصّ – يِبُصّ yang bermaksud ‘lihat.’ Jangan tertukar dengan بُوسْ yang merupakan fi’il amar bagi بَاسْ – يِبُوسْ yang bermaksud ‘cium’.

2. Perkataan بِصَرَاحَةْ bermaksud, “sejujurnya”. Kita boleh letak di awal ayat sebelum bercerita sesuatu.

3. Perkataan مَابَحِبّشْ pula ialah bentuk penafian untuk fi’il mudhari’ بَحِبّ (saya suka). Bererti, مَابَحِبّشْ bermaksud ‘saya tidak suka’.

Bagaimana cara untuk menafikan fi’il mudhari’ dalam dialek Mesir?

Ada dua cara, boleh pilih yang mana kita lebih suka;

Pertama: Tambahkan مَا di awal fi’il mudhari’. Tambah شْ sukun di akhir fi’il mudhari’.

Kedua: Tambahkan مُشْ sahaja di awal fi’il mudhari’.

(Nota: Pastikan fi’il mudhari’ tersebut terlebih dahulu telah dimasuki ب di awalnya yang membawa maksud ‘sedang’ atau ‘selalu’).

4. Perkataan الحَاجَاتْ ialah jama’ (plural) bagi الحاجة yang bermaksud ‘benda’. Padanannya dalam bahasa Arab Fusha ialah الشيء.

5. Perkataan اللِّي pula mempunyai sama maksud seperti الذي. Dalam dialek Mesir, ism al-Mawsul hanya ada satu bentuk sahaja. Iaitu اللي. Rujuk cara sebutnya dibawah.

6. Perkataan زَيّ pula bermaksud ‘seperti’ atau مِثلْ.

7. Perkataan دِي pula ialah Kata Tunjuk (Ism al-Isyarah) untuk perkataan yang bersifat muannath. Padanannya ialah هَذِهِ.

8. Perkataan بَسْ bermaksud ‘tetapi’.

9. Ayat وِانْتَ عَارِفْ كُوَيِّسْ أَوِي boleh digunakan di mana-mana ayat yang kita nak cakap bahawa si pendengar itu tahu sangat tentang sesuatu perkara.

10. Frasa مُشْ مُجَرَّدْ bermaksud ‘bukan sahaja’.

 

⚡️ Cara Sebut

1. Perkataan مَابَحِبّشْ disebut seperti bunyi, “mabahib-besh”. Tanpa memanjang kan ‘maa’.

2. Perkataan أَتْدَخَّل disebut seperti bunyi, “Ad-dakkhal”.

Walaupun ada huruf ta sebelum huruf dal, tetapi huruf ta itu tidaklah terlalu jelas bunyinya.

3. Perkataan الحَاجَات walaupun ada alif selepas ح. Tetapi ح tersebut tetap dibaca pendek. Sebut, “el-Hagaat”. ‘Ha’ itu pendek sahaja. ‘Gaat’ yang panjang sikit. Huruf ج dalam huruf ini disebut seperti ‘G’.

4. Sebutan  untuk اللِّي pula ialah seperti, “ELLI”. Bukan “ALLAY” atau “ALLAI”.

5. Perkataan بَيْنِي pula disebut seperti bunyi “Bey-ni”. Hampir menyerupai sebutan ‘bay’ dalam bahasa Inggeris.

6. Perkataan وَ disebut seperti, “wo”. Walaupun huruf waw berbaris fathah, tetapi sebutannya tidak terlalu fathah sehingga berbunyi seperti ‘wA’.

7. Perkataan إِنْتَ sekiranya ada sebelumnya huruf و seperti وِانْتَ maka sebutannya akan menjadi, “wenta”. Huruf hamzah al-Qat’ pada إِنْتَ itu seolah-olah tiada.

8. Perkataan عَنْدِي disebut dengan ‘ANDI. Fathah pada huruf ‘ain. Berbeza dengan Fusha, عِنْدِي.

9. Perkataan أَكْتَرْ disebut, “aktar”. Huruf ث disebut ت dalam perkataan ini.

 

⚡️ Intonasi

Ayat-ayat ini diucap dengan intonasi yang tenang memandangkan tajuk yang dibincangkan iaah serious.

 

⚡️ Situasi

Ayat-ayat yang ada dalam video pada kali ini boleh digunakan pada mana-mana keadaan yang perlu. Kesemua ayat-ayat ini ialah ayat-ayat yang sopan dan ada unsur menghormati orang yang sedang berbicara dengan kita.

 

⚡️Pesanan Ringkas

Hadam semua huraian, kalau tak faham tanya soalan di ruangan yang disediakan.

Lepas hadam, ulang dengar sambil perhatikan cara sebut dan intonasi suara mereka.

Tiru sebutan mereka dan ulang proses ini berkali-kali.